Manik Baily
Manik Baily

Manik Baily

Kesan manik Baily adalah satu ciri gerhana matahari penuh. Ketika Bulan melalui di hadapan Matahari sewaktu gerhana matahari penuh, topografi sembir Bulan yang berceranggah membolehkan "manik-manik" cahaya matahari melepasi di sesetengah tempat, dan tidak di tempat lain. Fenomena ini dinamakan sempena Francis Baily, orang pertama yang memberikan penerangan yang tepat berkenaan kejadian ini pada tahun 1836.[1][2] Kesan cincin permata boleh dilihat apabila hanya satu "manik" ini yang tinggal; permata yang bersinar yang terletak dalam cincin yang terang di sekeliling bayangan Bulan.[3]Bulan mempunyai bentuk muka bumi yang pelbagai kerana kewujudan banyak gunung, kawah, lembah dan ciri-ciri topografi yang lain. Ketaksekataan sembir Bulan ("sisi" Bulan yang dilihat dari jauh) diketahui dengan tepat daripada pemerhatian-pemerhatian hijab gesel bintang-bintang. Oleh itu, ahli astronomi memahami dengan agak baik gunung-gunung dan lembah-lembah Bulan yang mana akan menyebabkan kemunculan manik-manik ini sebelum kejadian gerhana. Manik-manik Baily hanya muncul selama beberapa saat di tengah kawasan laluan gerhana, tetapi jangka masanya tertinggi di pinggir laluan umbra, iaitu sekitar 1-2 minit.Manik Baily dan kesan cincin permata tidak selamat dilihat secara terus tanpa memakai perlindungan mata yang sesuai kerana dalam kedua-dua keadaan, fotosfera Matahari masih boleh dilihat.